Ahlan Wa Sahlan,Ana Noor Atikah Rozemi...ASSALAMUALAIKUM

Sunday, December 7, 2014

"Ghibah atau Membuka Keaiban..."



Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
(Surah Al-Hujurat: 12)


Sekadar ilustrasi sahaja.


Assalamualaikum warahmatullah..

                Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Dia (Allah) sentiasa memberikan peringatan kepada kita supaya kita tidak lupa dan terhindar daripada sifat kefuturan. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, semoga kita peroleh syafaat sebagai umat baginda pada akhirat kelak. Kali ini saya bangkit dengan karya bertajuk "Ghibah". Ghibah merupakan penyakit yang sering melanda ummat Islam. Tidak kira seseorang itu berlatar belakangkan agama atau tidak, penyakit ini masih berupaya untuk menular ke dalam hati dan jiwa mereka. Nauzubillah min zalik...

Apa itu 'Ghibah' wahai sahabatku??


Dari Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: 

 

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ؟

قَالُوا : اللهُ ورسولُهُ أعْلَمُ

قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ ؟

ْقَالَ : إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ . وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ ، فَقَد بَهَتَّهُ


“Tahukah kalian apa ghibah itu? 

Para shahabat berkata: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebutkan sesuatu tentang saudaramu yang dia membencinya." 

Salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW,"Bagaimana halnya jika apa yang aku katakan itu terdapat pada saudaraku?” 

Rasulullah SAW menjawab : “Jika yang engkau sebutkan tadi benar-benar ada pada saudaramu sungguh engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), sedangkan jika itu tidak benar maka engkau telah membuat kedustaan atasnya (fitnah).” 
(HR. Muslim ( 2577 ) dalam Al-Birr wa ash-Shilah wa al-Adaab. Lihat Bulughul Mahram cet. pustaka as-Sunnah 2007 .Hal 734)

Definisi Ghibah kita dapat simpulkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 dan hadis Rasulullah SAW. Ghibah yang bermaksud menceritakan keaiban atau membuka keaiban seseorang. Dalam Minhajul Qasidin Ibnu Qudamah Al-Maqdisy rahimahullah, beliau ada menyebut: Ketahuilah bahwa setiap sesuatu yang dimaksudkan sebagai celaan, maka itu dikateorikan ghibah, baik dalam bentuk perkataan atau pun yang lainnya, seperti kedipan mata, isyarat atau pun tulisan. Sesungguhnya tulisan merupakan salah satu dari dua lisan” (Minhajul Qasidin, Cet. Pustaka as-Sunnah, 2008,Hal 309)
Penyakit yang merosakkan hati tanpa pemilik tersebut mengetahuinya..

Mengapa terjadinya Ghibah??


Kita percaya akan kebenaran untuk menceritakan kekurangan seseorang. Tapi tanpa kita sedar, kita telah menyebarkan keaiban tersebut kepada orang lain sedangkan perkara tersebut tidak membawa sesuatu manfaat lansung. Contohnya, si polan telah melakukan kesalahan. Kemudian, kalian sebarkan keaiban tersebut kepada orang lain, sedangkan masalah hanya boleh diselesaikan jika kalian mengambil tindakan dengan menegur dan menasihati si polan, tanpa perlu membuka keaiban dia lansung. “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (HR. at-Tirmidzi dan Abu Daud).

Kalian tidak berhak untuk menghukum kesalahan si polan dengan mencanang keaiban beliau.

“Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya.” (HR. al-Bukhari)

Sekiranya mereka bersalah, tegurlah mereka secara bijaksana tanpa mencela kehormatan mereka barang sedikit pun. Yang pasti, tegur itu biarlah pada tempat dan masa yang betul. Sangat tidak bijaksana jika kalian menegur mereka ditempat umum.
 
Iman Syafie’ berkata, “Nasihatilah diriku dikala aku sendirian, janganlah kau menasihatiku ditengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah sebahagian dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya. Jika engkau enggan dan tetap melanggar kata-kataku, maka engkau jangan menyesal jika aku enggan menurutimu.” 

“Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”
(HR. Ibnu Umar Ra. Kitab Sahih Muslim: 4677)



Jika benar mereka pernah melakukan kesalahan, bersangka baiklah. Mungkin mereka telah bertaubat kepada Allah. Atau tegurlah mereka dengan penuh kasih sayang.

GHIBAH (MENGUMPAT) ITU HARAM

Bahaya Ghibah ini wahai sahabatku... kerana bagi Allah ini suatu perbuatan yang keji dan kotor. Hal ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW dari sahabat Sa’id bin Zaid radiyallu’anhu.

“Sesungguhnya termasuk riba yang paling besar (dalam riwayat lain: termasuk dari sebesar-besarnya dosa besar) adalah memperpanjang dalam menceritakan aib saudaranya muslim tanpa alasan yang benar.” (HR. Abu Dawud no. 4866-4967)

Rasulullah SAW juga memperlihatkan Ghibah sebagai suatu perkara yang serius. Suatu hari Aishah r.a. pernah berkata kepada Rasulullah SAW tentang Shafiyyah bahawa dia adalah wanita yang pendek. Rasulullah SAW tidak suka akan perkataan tersebut lalu berkata,

“Sungguh engkau telah berkata dengan suatu kalimat yang kalau seandainya dicampur dengan air laut niscaya akan merubah air laut itu.” (H.R. Abu Dawud 4875 dan lainnya)

Syaikh Salim bin Ied Al Hilali rahimahullah berkata: “Dapat merubah rasa dan aroma air laut, disebabkan betapa busuk dan kotornya perbutan ghibah. Hal ini menunjukkan suatu peringatan keras dari perbuatan tersebut.” (Lihat Bahjatun Nazhirin Syarah Riyadhush Shalihin 3/25)

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.


Keadaan Ghibah yang dibenarkan dalam Islam...

Kalau semua diam kerana takut dianggap Ghibah,bagaimana masyarakat boleh tahu sama ada suatu perkara itu benar atau salah??
Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[4] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak.
Enam (6) keadaan tersebut ialah:
  1. Dalam hal penganiayaan.  Orang yang dianiaya itu boleh mengadukan mengenai orang yang menganiayanya kepada penguasa atau orang yang mempunyai kuasa atau kemampuan untuk menyedarkan atau mengadili tindakan aniaya itu.  Misalnya orang yang dianiaya itu mengatakan:  “Si fulan menganiayai saya begini dan begitu."
  2. Dalam hal meminta tolong untuk melenyapkan kemungkaran dan untuk menegur orang yang berbuat kemaksiatan, misalnya seseorang berkata kepada orang yang diharapkan dapat melenyapkan kemungkaran tersebut dengan berkata:  “Si fulan berbuat kemungkaran.  Tolonglah buat sesuatu.” dan lain-lain ucapan seumpamanya dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran.  Seandainya tidak dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran maka hal itu tidak dibolehkan.
  3. Dalam hal meminta nasihat.  Misalnya ada seseorang berkata kepada orang lain yang dianggap boleh memberikan nasihat:  “Saya diperlakukan begini oleh ayah saya, atau saudara saya, atau pasangan saya, atau oleh si fulan, lalu bagaimanakah sebaiknya saya lakukan?  Apakah nasihat anda kepada saya?  Apakah hukumnya mereka melakukan begitu kepada saya?”.  Yang terbaik ialah tidak perlu menyebut nama atau hubungan mereka dengan kita, contohnya:  “Bagaimanakah pendapat anda jika seorang suami melakukan begini dan begitu kepada isterinya?”  Dengan cara begini, maksudnya tercapai juga walaupun tidak menyebut nama orang tersebut atau menyebut hubungan dia dengan kita.  Namun, jika mahu menyebut juga, masih dibenarkan.
  4. Dalam hal memberikan peringatan atau nasihat kepada kaum muslimin agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan.  Contohnya menyebut cacat dan aib para periwayat hadith dan para saksinya supaya riwayat tersebut diketahui akan statusnya lalu tidak disebarkan secara tanpa hak.  Contoh yang lain adalah seperti ketika bermesyuarat, memilih pasangan atau besan, memulakan kerjasama/perniagaan, memilih jiran tetangga dan seumpamanya.  Tujuan ghibah mestilah dengan sebab ingin memberikan peringatan atau nasihat supaya kemudharatan atau keburukan dapat dicegah.
  5. Dengan berterus-terang menegur kefasikan seseorang seperti kepada orang yang meminum minuman keras, orang yang merampas harta orang lain, orang yang menerapkan kebatilan dan lain-lain kemaksiatan.  Dalam hal ini seseorang boleh berterus terang menegur tindakannya yang tidak benar itu, tetapi tidak boleh mendedahkan aib yang lain yang tidak berkaitan.
  6. Dalam hal memberikan pengertian atau kejelasan, misalnya ada seseorang yang lebih dikenali dengan gelaran ‘si buta’, atau ‘si tuli’, atau ‘si bisu’ dan sebagainya.  Dalam hal ini seseorang boleh menyebutnya dengan gelaran itu, tetapi kalau dengan maksud mengejek atau menghina maka diharamkan.  Dan kalau boleh, hindarilah gelar-gelar semacam itu.

Kesimpulannya, jauhkanlah diri daripada perbuatan Ghibah (mengumpat) kerana perbuatan ini menjerumuskan kita kepada kebinasaan dunia dan akhirat. Ghibah ini hanya dibolehkan dalam keadaaan tertentu sahaja, itupun jika ada keperluan dan ditimbang keperluan itu dengan halal dan haram, manfaat dan mudharat, mudharat kecil dan mudharat besar.

#Berfikir dahulu sebelum berkata-kata. 
 
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa beliau mendengar Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِِ ،مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا ,يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ ، أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

“Sesungguhnya seseorang itu bisa kerana mengucapkan sesuatu perkataan yang tidak difikirkan terlebih dahulu membuatkannya tergelincir ke dalam api neraka yang luasnya lebih jauh dari timur dan barat.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

#Jaga Lidah Anda

 

Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:
Bermaksud:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah al-Isra’, 17:36)

Dan firman ALLAH Ta`ala:
“Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.”
“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
(Surah Qaaf, 50:17-18)

#Ucap Perkataan Yang Baik Atau Diam

1.Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

ْمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ,فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت

“Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

2.Dari Abu Musa al-Asy`ari (أبو موسى الأشعري) radhiAllahu `anhu, katanya aku bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ ؟

ِقَالَ : مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِه

“Wahai Rasulullah, Islam yang bagaimanakah lebih utama?  Bersabda Baginda:  “Sesiapa yang orang-orang Islam lainnya selamat dari lidahnya dan tangannya.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

Sekian, moga kita semua sentiasa beringat.
Shhhhhhh....jaga lidah anda!    



 SUMBER: 
1. Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi 
2.http://muzir.wordpress.com
3.Buku Tentang Ghibah (Mengumpat) dan Namimah (Fitnah)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...