Ahlan Wa Sahlan,Ana Noor Atikah Rozemi...ASSALAMUALAIKUM

Sunday, December 7, 2014

"Ghibah atau Membuka Keaiban..."



Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
(Surah Al-Hujurat: 12)


Sekadar ilustrasi sahaja.


Assalamualaikum warahmatullah..

                Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Dia (Allah) sentiasa memberikan peringatan kepada kita supaya kita tidak lupa dan terhindar daripada sifat kefuturan. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, semoga kita peroleh syafaat sebagai umat baginda pada akhirat kelak. Kali ini saya bangkit dengan karya bertajuk "Ghibah". Ghibah merupakan penyakit yang sering melanda ummat Islam. Tidak kira seseorang itu berlatar belakangkan agama atau tidak, penyakit ini masih berupaya untuk menular ke dalam hati dan jiwa mereka. Nauzubillah min zalik...

Apa itu 'Ghibah' wahai sahabatku??


Dari Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: 

 

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ؟

قَالُوا : اللهُ ورسولُهُ أعْلَمُ

قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ

قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ ؟

ْقَالَ : إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ . وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ ، فَقَد بَهَتَّهُ


“Tahukah kalian apa ghibah itu? 

Para shahabat berkata: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebutkan sesuatu tentang saudaramu yang dia membencinya." 

Salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW,"Bagaimana halnya jika apa yang aku katakan itu terdapat pada saudaraku?” 

Rasulullah SAW menjawab : “Jika yang engkau sebutkan tadi benar-benar ada pada saudaramu sungguh engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), sedangkan jika itu tidak benar maka engkau telah membuat kedustaan atasnya (fitnah).” 
(HR. Muslim ( 2577 ) dalam Al-Birr wa ash-Shilah wa al-Adaab. Lihat Bulughul Mahram cet. pustaka as-Sunnah 2007 .Hal 734)

Definisi Ghibah kita dapat simpulkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 dan hadis Rasulullah SAW. Ghibah yang bermaksud menceritakan keaiban atau membuka keaiban seseorang. Dalam Minhajul Qasidin Ibnu Qudamah Al-Maqdisy rahimahullah, beliau ada menyebut: Ketahuilah bahwa setiap sesuatu yang dimaksudkan sebagai celaan, maka itu dikateorikan ghibah, baik dalam bentuk perkataan atau pun yang lainnya, seperti kedipan mata, isyarat atau pun tulisan. Sesungguhnya tulisan merupakan salah satu dari dua lisan” (Minhajul Qasidin, Cet. Pustaka as-Sunnah, 2008,Hal 309)
Penyakit yang merosakkan hati tanpa pemilik tersebut mengetahuinya..

Mengapa terjadinya Ghibah??


Kita percaya akan kebenaran untuk menceritakan kekurangan seseorang. Tapi tanpa kita sedar, kita telah menyebarkan keaiban tersebut kepada orang lain sedangkan perkara tersebut tidak membawa sesuatu manfaat lansung. Contohnya, si polan telah melakukan kesalahan. Kemudian, kalian sebarkan keaiban tersebut kepada orang lain, sedangkan masalah hanya boleh diselesaikan jika kalian mengambil tindakan dengan menegur dan menasihati si polan, tanpa perlu membuka keaiban dia lansung. “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (HR. at-Tirmidzi dan Abu Daud).

Kalian tidak berhak untuk menghukum kesalahan si polan dengan mencanang keaiban beliau.

“Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya.” (HR. al-Bukhari)

Sekiranya mereka bersalah, tegurlah mereka secara bijaksana tanpa mencela kehormatan mereka barang sedikit pun. Yang pasti, tegur itu biarlah pada tempat dan masa yang betul. Sangat tidak bijaksana jika kalian menegur mereka ditempat umum.
 
Iman Syafie’ berkata, “Nasihatilah diriku dikala aku sendirian, janganlah kau menasihatiku ditengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah sebahagian dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya. Jika engkau enggan dan tetap melanggar kata-kataku, maka engkau jangan menyesal jika aku enggan menurutimu.” 

“Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.”
(HR. Ibnu Umar Ra. Kitab Sahih Muslim: 4677)



Jika benar mereka pernah melakukan kesalahan, bersangka baiklah. Mungkin mereka telah bertaubat kepada Allah. Atau tegurlah mereka dengan penuh kasih sayang.

GHIBAH (MENGUMPAT) ITU HARAM

Bahaya Ghibah ini wahai sahabatku... kerana bagi Allah ini suatu perbuatan yang keji dan kotor. Hal ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW dari sahabat Sa’id bin Zaid radiyallu’anhu.

“Sesungguhnya termasuk riba yang paling besar (dalam riwayat lain: termasuk dari sebesar-besarnya dosa besar) adalah memperpanjang dalam menceritakan aib saudaranya muslim tanpa alasan yang benar.” (HR. Abu Dawud no. 4866-4967)

Rasulullah SAW juga memperlihatkan Ghibah sebagai suatu perkara yang serius. Suatu hari Aishah r.a. pernah berkata kepada Rasulullah SAW tentang Shafiyyah bahawa dia adalah wanita yang pendek. Rasulullah SAW tidak suka akan perkataan tersebut lalu berkata,

“Sungguh engkau telah berkata dengan suatu kalimat yang kalau seandainya dicampur dengan air laut niscaya akan merubah air laut itu.” (H.R. Abu Dawud 4875 dan lainnya)

Syaikh Salim bin Ied Al Hilali rahimahullah berkata: “Dapat merubah rasa dan aroma air laut, disebabkan betapa busuk dan kotornya perbutan ghibah. Hal ini menunjukkan suatu peringatan keras dari perbuatan tersebut.” (Lihat Bahjatun Nazhirin Syarah Riyadhush Shalihin 3/25)

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.


Keadaan Ghibah yang dibenarkan dalam Islam...

Kalau semua diam kerana takut dianggap Ghibah,bagaimana masyarakat boleh tahu sama ada suatu perkara itu benar atau salah??
Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[4] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak.
Enam (6) keadaan tersebut ialah:
  1. Dalam hal penganiayaan.  Orang yang dianiaya itu boleh mengadukan mengenai orang yang menganiayanya kepada penguasa atau orang yang mempunyai kuasa atau kemampuan untuk menyedarkan atau mengadili tindakan aniaya itu.  Misalnya orang yang dianiaya itu mengatakan:  “Si fulan menganiayai saya begini dan begitu."
  2. Dalam hal meminta tolong untuk melenyapkan kemungkaran dan untuk menegur orang yang berbuat kemaksiatan, misalnya seseorang berkata kepada orang yang diharapkan dapat melenyapkan kemungkaran tersebut dengan berkata:  “Si fulan berbuat kemungkaran.  Tolonglah buat sesuatu.” dan lain-lain ucapan seumpamanya dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran.  Seandainya tidak dengan maksud untuk melenyapkan kemungkaran maka hal itu tidak dibolehkan.
  3. Dalam hal meminta nasihat.  Misalnya ada seseorang berkata kepada orang lain yang dianggap boleh memberikan nasihat:  “Saya diperlakukan begini oleh ayah saya, atau saudara saya, atau pasangan saya, atau oleh si fulan, lalu bagaimanakah sebaiknya saya lakukan?  Apakah nasihat anda kepada saya?  Apakah hukumnya mereka melakukan begitu kepada saya?”.  Yang terbaik ialah tidak perlu menyebut nama atau hubungan mereka dengan kita, contohnya:  “Bagaimanakah pendapat anda jika seorang suami melakukan begini dan begitu kepada isterinya?”  Dengan cara begini, maksudnya tercapai juga walaupun tidak menyebut nama orang tersebut atau menyebut hubungan dia dengan kita.  Namun, jika mahu menyebut juga, masih dibenarkan.
  4. Dalam hal memberikan peringatan atau nasihat kepada kaum muslimin agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan.  Contohnya menyebut cacat dan aib para periwayat hadith dan para saksinya supaya riwayat tersebut diketahui akan statusnya lalu tidak disebarkan secara tanpa hak.  Contoh yang lain adalah seperti ketika bermesyuarat, memilih pasangan atau besan, memulakan kerjasama/perniagaan, memilih jiran tetangga dan seumpamanya.  Tujuan ghibah mestilah dengan sebab ingin memberikan peringatan atau nasihat supaya kemudharatan atau keburukan dapat dicegah.
  5. Dengan berterus-terang menegur kefasikan seseorang seperti kepada orang yang meminum minuman keras, orang yang merampas harta orang lain, orang yang menerapkan kebatilan dan lain-lain kemaksiatan.  Dalam hal ini seseorang boleh berterus terang menegur tindakannya yang tidak benar itu, tetapi tidak boleh mendedahkan aib yang lain yang tidak berkaitan.
  6. Dalam hal memberikan pengertian atau kejelasan, misalnya ada seseorang yang lebih dikenali dengan gelaran ‘si buta’, atau ‘si tuli’, atau ‘si bisu’ dan sebagainya.  Dalam hal ini seseorang boleh menyebutnya dengan gelaran itu, tetapi kalau dengan maksud mengejek atau menghina maka diharamkan.  Dan kalau boleh, hindarilah gelar-gelar semacam itu.

Kesimpulannya, jauhkanlah diri daripada perbuatan Ghibah (mengumpat) kerana perbuatan ini menjerumuskan kita kepada kebinasaan dunia dan akhirat. Ghibah ini hanya dibolehkan dalam keadaaan tertentu sahaja, itupun jika ada keperluan dan ditimbang keperluan itu dengan halal dan haram, manfaat dan mudharat, mudharat kecil dan mudharat besar.

#Berfikir dahulu sebelum berkata-kata. 
 
Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa beliau mendengar Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِِ ،مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا ,يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ ، أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

“Sesungguhnya seseorang itu bisa kerana mengucapkan sesuatu perkataan yang tidak difikirkan terlebih dahulu membuatkannya tergelincir ke dalam api neraka yang luasnya lebih jauh dari timur dan barat.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

#Jaga Lidah Anda

 

Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala:
Bermaksud:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah al-Isra’, 17:36)

Dan firman ALLAH Ta`ala:
“Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.”
“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”
(Surah Qaaf, 50:17-18)

#Ucap Perkataan Yang Baik Atau Diam

1.Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

ْمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ,فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت

“Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

2.Dari Abu Musa al-Asy`ari (أبو موسى الأشعري) radhiAllahu `anhu, katanya aku bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ ؟

ِقَالَ : مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِه

“Wahai Rasulullah, Islam yang bagaimanakah lebih utama?  Bersabda Baginda:  “Sesiapa yang orang-orang Islam lainnya selamat dari lidahnya dan tangannya.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

Sekian, moga kita semua sentiasa beringat.
Shhhhhhh....jaga lidah anda!    



 SUMBER: 
1. Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi 
2.http://muzir.wordpress.com
3.Buku Tentang Ghibah (Mengumpat) dan Namimah (Fitnah)


Sunday, August 24, 2014

KHAS BUAT YANG AKAN BERGELAR ZAUJAH


Surah Ar-Rum 30; Ayat 21 :

وَمِنْ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”




 Assalamualaikum warahmatullah....

Buat para muslimat yang akan bergelar zaujah (isteri) dan sudah bergelar zaujah, sedikit titipan daripada aku. Tanda kasih sayang aku kepada kalian, moga kalian dan aku termasuk dalam kalangan bidadari ahli syurga kelak. InsyaAllah... Allahumma amin.




Pesanan Imam Al-Ghazali kepada anak perempuannya di hari perkahwinannya

Anakku!

Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan

Dan akan berada di tempat tidur yang tidak engkau kenal,

Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.

Itulah suamimu;

Jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi sebagai langitmu.

Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia dapat kau jadikan tiangmu.

Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya, nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu.

Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya
Dengan cara yang demikian akan menjadi ia merasa benci padamu.

Jangan pula engkau menjauhkan diri nescaya ia akan melupakan engkau.

Dan kalau ia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu, maka yang eloknya jauhkanlah dirimu daripadanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya
Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripada mu melainkan yang harum,
Janganlah membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu melainkan yang baik,
Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada mumelainkan yang cantik, belaka.





Andai kalian sudah bernikah,jangan lupa perancangan ini ya.



Moga Allah merahmati Baitul Muslim kalian. Allahumma Amin...


Monday, June 2, 2014

“MENANAM MAKNA UKHUWAH ISLAMIYAH BUAT PEMUDA”


 Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Assalamualaikum warahmatullah..

                Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Allah sentiasa memberikan tarbiyyah kepada kita supaya kita tidak lupa dan terhindar daripada sifat kemungkaran. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, semoga kita peroleh syafaat sebagai umat baginda pada akhirat kelak. Amin. Suka untuk saya berkongsi bedah buku yang dikarang oleh seorang ulama, Dr. A’idh al-Qarni yang bertajuk "Selagi Masih Muda". Semoga Allah merahmati beliau. Amin.

Bismillah...

 Oleh: Dr. A’idh al-Qarni. (Bedah Buku: Selagi Masih Muda)

Mendidik anak muda dengan ukhuwah Islam.

      Salah satu cara untuk tarbiyyah (mendidik) pemuda iaitu menanamkan erti Ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam). Banyak orang berkata tentang ukhuwah (persaudaraan) dan menyerukan persaudaraan di atas mimbar. Namun ketika turun, dia berinteraksi terhadap orang lain dengan tongkat dan cemeti. Maksudnya, di hadapan orang dia menyeru persaudaraan tetapi ketika duduk di suatu tempat, dia mula mencela hamba-hamba Allah. Contoh, “Si polan manhaj (metode)nya salah… hati-hati dengan si polan dalam masalah akidah. Si polan teruk adabnya… Si polan tidak punya ilmu… Si polan sombong…” Di mana erti persaudaraan? Anda ingin saya menjadikan Anda sebagai saudara, sementara Anda merobek kehormatan saya, menumpahkan darah dan wajah saya?! Anda menginginkan persaudaraan, sementara Anda menghina dan mengejek saya?!

Suatu ketika, orang-orang mendatangi Al-Hasan lalu mereka katakan, “Seseorang telah mencela Anda.” Maka Al-Hasan berkata, “Bawakan kurma untuknya!” Lalu mereka membawakan kurma kepada orang itu dan mengatakan, “Al-Hasan yang mengirimkan kurma untukmu. Kamu memberikan kami pahala-pahala kebaikanmu, justeru kami membalasnya dengan kurma untukmu.” Orang itu pun tidak pernah lagi mencela dan memburuk-burukan Al-Hasan. Kisah lain, seseorang menemui Ibnu Samak iaitu seorang penceramah. Orang itu berkata kepada Ibnu Samak, “Esok kita akan buka kesalahan masing-masing. Esok saya akan buat perhitungan dengan kamu. Dan, kamu berhak membuat perhitungan denganku.”  Ibnu Samak menjawab, “Semoga Allah memberi ampunan kepadamu. Lebih baik esok kita saling mendoakan semoga dosa kita diampuni Allah.” Bukankah lebih baik jika, “Semoga Allah memberi keampunan kepadamu. Anda juga mendoakan agar Allah memberikan keampunan kepada saya.”

Bagaimana anda mendefinisikan Ukhuwah???
 Bukan mudah untuk mendefinisikan ukhuwah. Kerana di dalam persaudaraan terdapat beberapa kewajiban.  Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kewajiban seorang muslim terhadap muslim lainnya ada enam: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepada….”(H.R Al-Bukhari (1240) dengan lafal: …ada 5; dan Muslim (2162) dengan lafal: ..ada 6) 


Namun, kita lihat generasi sekarang ini iaitu ketika sebahagian orang berjumpa dengan yang lainnya, pemuda sepertinya, dia tidak mengucapkan salam kepada saudaranya itu. Dari tarbiyyah jenis apakah orang-orang ini terdidik? Apakah mereka masih menginginkan kemenangan Islam, padahal tidak mahu mengucapkan salam dan berjabat tangan dengan saudaranya? Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam kepadanya.
Memberi salam, maniskan wajah


Kedua, Rasulullah SAW menyeru kita agar berwajah manis ketika mengucapkan salam, “Kalaulah sekiranya kamu jumpa saudaramu dengan wajah yang berseri-seri…..” (H.R. Ahmad dalam Musnadnya: 14348). 
Saling menasihati secara berhikmah
Ketiga, menasihati sahabat. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila dia menasihatimu, maka hendaklah kamu juga memberikan nasihat kepadanya.” (H.R. Muslim: 2162) Namun sebaliknya, apabila Anda diperlihatkan berbagai kesalahan manusia dihadapan Anda. Namun, apakah kamu akan menasihatinya? Tidak! Anda hanya akan melihat dan kemudian menyebarkan hal itu di mana-mana. Sungguh salah! Allah yang akan membuat perhitungan! Apabila Anda bertanya kepadanya, “Demi Allah yang akan membalasmu, kamu menceritakan kesalahan-kesalahannya pada orang lain. Apakah kamu pernah menasihatinya, wahai saudaraku?” Tentu jawapannya, “Tidak.” Sudahkah Anda berbicara dengannya? Pernahkah Anda menulis pesan untuknya? Sesungguhnya Ahlus Sunnah saling menasihati, sedangkan Ahli Bidaah saling membuka kesalahan dan keaiban masing-masing.


Seorang penyair mengatakan:

“Topeng aku dengan nasihatmu ketika aku sendiri.

Hindarilah menasihati di hadapan banyak orang.

Kerana nasihat di depan banyak orang, sebahagian dari celaan.

Kerana itu, aku tidak ingin mendengarnya.

Jika kau tentang aku dan menolak usulku, jangan sedih bila tidak ada kepatuhan.”


 
Menerima jemputan yang tiada unsur maksiat

Keempat, menerima undangan sahabat. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila dia mengajakmu (menjemputmu), maka sambutlah!”(H.R. Muslim: 2162) Sulit bagi seseorang muslim itu menolak ajakan atau undangan saudaranya bagi menghadiri acara yang tidak ada haram di situ sehingga boleh dimaklumkan. Akan dibenarkan bila orang-orang itu memiliki berbagai halangan. Tetapi, alasan berhalangan seseorang hanya boleh diterima dalam 2 Perkara:



1.      Dia memiliki halangan yang dibolehkan syariat. Maka tidak menjadi masalah. Contohnya, sakit, musafir, terikat waktunya, atau sudah ada janji sebelumnya. Maka hal ini dibolehkan.

2.      Dia mengemukakan alasan kerana adanya bidaah atau kemungkaran di sekitar orang yang mengundang. Maka ini dibolehkan.



Imam Ahmad tidak pernah memenuhi undangan orang-orang yang melakukan kemungkaran atau maksiat yang jelas kelihatan. Contoh, jamuan yang dihidangkan arak, ada nyanyian yang ditampilkan dan diperdengarkan ketika acara, dan lain-lainnya. Sedangkan kalau tidak ada hal-hal tersebut, jika anda menerima undangannya ia akan menyebabkan ukhuwah tererat.


Mendoakan sahabat secara senyap

Kelima, hak wajib dalam Ukhuwah Islamiyah adalah mendoakan sahabat tanpa diketahuinya. Ini adalah bukti kejujuran anda jika mendoakannya tanpa dia ketahui. Hal ini adalah yang dituntut dari kami dan anda sekalian. Lihat bagaimana Allah mengangkat darjat Imam Ahmad dan Imam As-Syafi’i. Imam Ahmad bin Hanbal (semoga Allah merahmatinya) pernah berkata kepada anak lelaki Imam As-Syafi’i (semoga Allah merahmati Imam As-Syafi’i), “Ayahmu termasuk 7 orang yang kudoakan kepada Allah di waktu-waktu menjelang Subuh.” Tujuh orang yang didoakan Imam Ahmad itu adalah sahabat dan saudaranya. Abu Darda’ pula selalu mendoakan 70 puluh sahabatnya tanpa diketahui. Ini kerana doa yang paling cepat dimakbulkan adalah doa seseorang untuk orang lain tanpa diketahuinya.



Menziarahi sahabat yang sakit
Keenam, menjenguk sahabat yang sakit. Sehingga, erti persaudaraan benar-benar nampak dalam kenyataan sebenarnya. Nabi Muhammad SAW memang betul-betul pernah melakukannya.

Memanggil sahabat dengan panggilan baik-baik
Adapun, tidak dimasukkan sekali kewajiban memanggil sahabat dengan panggilan baik-baik ke dalam hadis tentang enam hak kewajiban dalam Ukhuwah Islamiyah tadi tetapi dalam hadis riwayat Al-Bukhari (30) dan Muslim (1661) ada menceritakan tentang kewajiban memanggil sahabat dengan panggilan baik-baik. Dalam Shahih Al-Bukhari diceritakan bahawa para sahabat berkumpul di suatu tempat, lalu Bilal sang kekasih hati berbicara. Kemudian Abu Dzar berkata kepadanya, “Sampai-sampai kamu hai anak wanita hitam juga berbicara!”. Benar, Abu Dzar pernah mendapat tarbiyyah daripada Rasulullah SAW tetapi dia juga tidak terlepas daripada melakukan khilaf (kesalahan). Bilal pun mengadu hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW marah dan berubah wajahnya. Ketika Abu Dzar menemui Rasulullah SAW, Rasulullah SAW pun bersabda, “Kamu menghina Bilal dengan menyebut-nyebut ibunya? Sesungguhnya kamu orang yang masih terdapat sifat jahiliyah dalam dirimu!”


Tercetusnya ucapan seperti itu kepada Abu Dzar yang beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW seakan-akan seperti batu besar, peluru atau panahan petir yang menimpa Abu Dzar. Lalu Abu Dzar berkata,”Wahai Rasulullah, walaupun di usia tuaku ini?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya.” Kemudian Abu Dzar pulang sambil menangis. Ketika Bilal berjalan di hadapannya, Abu Dzar berkata, “Aku tidak akan mengangkat kepalaku dari tanah ini, sampai kamu memijak kepalaku dengan kakimu.” Sudah tentu Bilal yang menpunyai akhlak mulia tidak akan melakukannya. Bilal berkata kepada Abu Dzar, “Kamu adalah saudaraku.” Mereka berdua pun berdiri, saling berpelukan dan sama-sama menangis.”





IBRAH DARI SIRAH KABILAH ANSHAR:



Di antara dasar-dasar pendidikan bagi pemuda Muslim ialah menjauhkan pemuda dari perbuatan mencela,memaki, ingin dikenali dan menghina orang lain.  Ingatlah ini bukan manhaj Nabi Muhammad SAW kerana baginda SAW bukanlah buruk akhlaknya, bukan yang suka mencela dan menghina. Oleh itu, Allah utuskan Nabi untuk menyatukan berbagai kabilah Arab yang diibaratkan seperti tanduk banteng yang tidak akan pernah bertemu. Dalam Surah Al-Anfal ayat 63 ada menceritakan.



Allah SWT berfirman:

"Dan (Dialah) yang menyatupadukan diantara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan diantara hati mereka akan tetapi Allah telah menyatu-padukan diantara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Anfal :63)



Kedatangan Islam terus membawa hijrah terhadap kaum Anshar yang berpecah-belah sebelum ini. Kaum Anshar terbahagi kepada 2 kabilah iaitu; suku Al-Aus dan Al-Khazraj. Kedua-dua kabilah ini di waktu jahiliyah sering menumpahkan darah. Ketika kedatangan Nabi Muhammad SAW, kaum Anshar ini saling tolong-menolong. Sehinggalah suatu hari, setan masuk di antara mereka, maklumlah mereka sudah beriman kepada Allah ketika itu.  Lalu seorang Yahudi datang, kemudian duduk di antara mereka.  Yahudi tadi berkata kepada kaum Anshar, “Bagaimana peperangan Bi’ats (peperangan Aus-Khazraj sebelum kedatangan Islam) terjadi di antara kalian?” Yahudi itu tadi sebenarnya mengimbas kembali sejarah berdarah dalam kaum Anshar. Mereka pun menjawab, “Kejadiannya begini… dan juga begini….” Lalu suku Aus berkata, “Kami telah mengalahkan kalian.” Kemudian, orang Khazraj berkata pula, “Tidak. Kami yang menang dari kalian.” Maka kaum Anshar ini saling menghina. Sehinggalah salah seorang daripada mereka berkata, “Perang! Perang! Mari kita tentukan waktunya! Awas kalian di gurun nanti!” Mereka hampir sahaja berperang. Kisah ini diceritakan Ibnu Jarir Al-Thabari dalam tafsirnya ketika membahas firman Allah SWT (Surah Ali-Imran: 100-101):

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنوا إِن تُطيعوا فَريقًا مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ يَرُدّوكُم بَعدَ إيمٰنِكُم كٰفِرينَ ﴿١٠٠﴾(100) Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.وَكَيفَ تَكفُرونَ وَأَنتُم تُتلىٰ عَلَيكُم ءايٰتُ اللَّهِ وَفيكُم رَسولُهُ ۗ وَمَن يَعتَصِم بِاللَّهِ فَقَد هُدِىَ إِلىٰ صِرٰطٍ مُستَقيمٍ ﴿١٠١﴾(101) Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)

Lalu Al-Aus dan Al-Khazraj tadi keluar. Salah seorang dari mereka berseru, “Perang! Perang! Mari menuju gurun!” Mereka kembali menghunuskan pedang. Mereka mengambil pedang dari sarungnya siap sedia ke gurun. Keimanan sudah hilang dari jiwa mereka. Berita ini dimaklumkan kepada Rasulullah SAW. Lantas Rasulullah segera menyarung pakaiannya untuk meninjau kaum Anshar tadi. 


Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah barisan mereka dan bersabda, “ Wahai manusia, bukankah kalian dulu tersesat sehinggalah Allah membimbing kalian melalui perantaraan ku?” (Tafsir Ibnu Katsir: 1/397) Kemudian Nabi Muhammad mengingatkan mereka, mendakwahi semula mereka dan membacakan beberapa ayat Allah sehingga mereka menitiskan air mata. Lantas, Al-Aus dan Al-Khazraj menjatuhkan pedang ke tanah walaupun hakikat ketika itu mereka bagaikan singa-singa yang siap sedia untuk bertempur.

 Jangan lupa suku Al-Aus dan Al-Khazraj ini adalah veteren dalam perang Badr, Uhud, dan Hunain. Mereka pun saling berpelukan dan tangisan ketika itu semakin kencang.  Kisah ini dipaparkan oleh Ibnu Jarir dan ulama-ulama sewaktunya.


Ukhuwah Islamiyah itu sepatutnya menguatkan ikatan persaudaraan, bukan berpecah belah.
Biar apapun beza pendapat atau jemaah, kita adalah saudara Islam. Terimalah seadanya. =)

Kesimpulan:



Ingatlah wahai Muslim bahawa syaitan dan orang-orang kafir sentiasa berusaha untuk memecahkan ukhuwah islamiyah di antara umat Islam. Ego, pra sangka dan iman yang hilang sementara waktu juga punca perpecahan berlaku. Justeru, damaikanlah di antara mereka yang bertelagah dengan membawa mereka pulang kembali kepada Allah melalui ayat-ayat al-Quran karim. Mereka yang beriman kepada Allah dan Muhammad SAW sudah tentu akan patuh dengan ayat-ayat Allah secara keseluruhannya.

Monday, January 6, 2014

Slot Wanita Kuliah Dhuha: "AGENDA 4 PAGI"


 Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

 
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Ali-Imran:18)

 Bersediakah kita menjadi qudwah (contoh) kepada suami dan anak-anak kita?


Assalamualaikum warahmatullah..

                Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Dia (Allah) sentiasa memberikan peringatan kepada kita supaya kita tidak lupa dan terhindar daripada sifat kemungkaran. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, semoga kita peroleh syafaat sebagai umat baginda pada akhirat kelak. Syukur ke hadrat ilahi kerana diberi kesempatan untuk menghadiri kuliah bersama seorang mualimah yang saya hormati iaitu Ustazah Norhafizah Musa yang kerap kedengaran dalam ruangan radio IKIM fm dan juga muncul dalam rancangan slot "Tanyalah Ustazah", TV9. Saya kongsikan serba sedikit perkongsian ilmu tersebut dalam bentuk olahan penulisan ini.


Buat para muslimah sekalian, mari kita hayati hadis ini.

Dalam shahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan hadits Usamah bin Zaid, dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Pada hari kiamat nanti akan ada seseorang yang didatangkan kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Isi perutnya terburai, sehingga ia berputar-putar sebagaimana berputarnya keledai yang menggerakkan penggilingan. Penduduk neraka pun berkumpul mengerumuninya. Mereka bertanya, ‘Wahai fulan, apakah yang terjadi pada dirimu? Bukankah dahulu engkau memerintahkan kami untuk berbuat kebaikan dan melarang kami dari kemungkaran?’. Dia menjawab, ‘Dahulu aku memerintahkan kalian berbuat baik akan tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan aku melarang kemungkaran sedangkan aku sendiri tergamak melakukannya’.”

 Melalui hadis di atas, Allah sediakan azab seksaan bagi orang yang mengajar orang ilmu tetapi tidak mengamalkannya, dan mencegah orang daripada melakukan maksiat tetapi dia sendiri yang melakukan maksiat. Allahu akhbar, moga Allah ampunkan dosa-dosa kita dan permudahkan kita untuk berbuat kebaikan.

Buat para muslimah, anda mesti mahu ada zuriat-zuriat yang soleh dan mendengar kata bukan?Anda pasti mengidamkan memiliki anak-anak generasi al-Quran iaitu penghafaz al-Quran,bukan? Ya,saya mahu. Jawapan ini adalah fitrah bagi semua wanita. Persoalannya,adakah kita sendiri pernah berusaha untuk mencapai ke arah tersebut? 'Check balik' amalan-amalan kita. Jangan...kita menasihati anak-anak kita supaya buat amalan-amalan sunnah dan meninggalkan perkara lagha, tapi kita sendiri yang tidak mengamalkan perkara tersebut. Berapa kali sehari kita baca al-Quran? Ada tak dalam sehari kita mengingati Allah (zikir) dan berselewat kepada Rasulullah SAW? Para muslimah sekalian jadikan diri kita qudwah (contoh,idola) kepada anak-anak kita. Kalau ibu bapa buat dahulu, Allah pasti permudahkan urusan anak-anak untuk berbuat kebaikan.

Al-Khansa binti Amru : Ibu Para Syuhada (Serikandi Zaman Rasulullah SAW)

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Anda kenal siapa Al-Khansa binti Amru? Wanita ini patut dijadikan contoh buat semua para wanita. Al-Khansa dilahirkan pada zaman jahiliyyah dan membesar dalam suku bangsa Arab iaitu Bani Mudhar. Beliau seorang wanita yang fasih,mulia, murah hati,tenang, berani, tegas,tidak kenal pura-pura dan suka berterus-terang. Kebolehahan beliau adalah bersyair dan Rasulullah SAW sendiri akui Khansa merupakan wanita yang paling handal bersyair di daerah tersebut melalui hadis yang diriwayatkan oleh Adi bin Hatim dan saudarinya,Safanah binti Hatim ketika datang ke Madinah untuk melawat Rasulullah SAW. Oleh kerana Khansa gemar bersyair tentang  2 orang saudara lelakinya iaitu, Mu'awiyah dan Sakhr yang telah meninggal dunia, Saidina Umar bin Khattab pernah menegur Khansa agar menggunakan kebolehan tersebut untuk menghasilkan sesuatu yang dapat dimanfaatkan untuk perjuangan Islam. Maka lahirlah syair-syair yang mampu memotivasikan orang-orang jauh dan terdekat terutama anak-anak lelakinya supaya keluar berjihad di jalan Allah.

Khansa: Ajak anak berperang fisabilillah dan ikut sekali ke medan jihad!

Berapa ramai wanita sanggup menyerahkan anak-anak untuk berkhidmat untuk agama Allah dan pada masa yang sama berangkat bersama-sama untuk memperjuangkan agama Allah? Wanita ini telah menghantar keempat-empat anaknya syahid dalam perang Qadisiyyah (Pertempuran Muslim-Persia). Sebelum berangkat ke perang, terjadinya perdebatan antara anak-anak lelaki Khunsa tentang pemilihan siapa yang berhak keluar berjihad dan siapa yang ditugaskan menjaga ibu di rumah. Masing-masing saling tunjuk-menunjuk siapa yang mesti tinggal di rumah dan masing-masing bercita-cita untuk keluar berjihad. Pertengkaran tersebut telah didengari oleh Khansa, lalu Khansa mengumpulkan keempat-empat anak lelakinya dan berkata,

"Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kalian ini putra-putra dari seorang lelaki dan seorang perempuan yang sama. Tidak pantas bagiku untuk mengkhianati ayahmu, atau membuat malu pamanmu, atau mencoreng arang di kening keluargamu."  

"Jika kalian telah melihat perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah. Majulah paling depan, niscaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat, negeri keabadian. Sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah. Inilah kebenaran sejati, maka berperanglah dan bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut niscaya kalian dianugerahi hidup."

Khansa dan keempat-empat anak lelakinya berangkat bersama-sama ke pertempuran Al-Qadisiyyah. Sewaktu pertempuran tersebut, kedengaran bunyi pedang-pedang bergeleseran dan cahaya keluar daripada pedang di hadapan anak-anaknya. Lantas Khansa terus bangkitkan semangat anak-anaknya dengan berkata,
"Anggaplah kilat-kilat mata cahaya pedang tersebut seperti panggilan cahaya daripada syurga............."

Dengan izin Allah, ramai musuh tertumpas di tangan anak-anak Khansa dan kesemua anaknya syahid di medan perang. Berita yang dikhabarkan kepada Khansa tentang kesyahidan anak-anaknya diterima dengan penuh redha tanpa perasaan sedih.
Khansa berdoa kepada Allah,“Segala pujian milik Allah Yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap kepada Allah agar Dia mengumpulkan aku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.” (Lihat: Al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashhab, II/90-91. Lihat juga: Nisa’ Hawl ar-Rasul).

Gambar sekadar hiasan.

Kesimpulan
Pengajaran daripada kisah Al-Khansa binti Amru adalah jadilah wanita yang mampu dijadikan teladan dan pembakar semangat kepada anak-anak untuk melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Jika kita berazam untuk memiliki anak-anak penghafaz al-Quran, maka lazimkanlah diri kita dengan membaca al-Quran. Jika kita berhasrat untuk memiliki anak yang berakhlak baik, maka perbaikilah akhlak kita. Amalkan baca surah Al-Imran ayat 200 untuk melembutkan hati anak-anak.

Wahai para muslimah, belum terlambat untuk kita perbaiki segala kekurangan kita. Zuriat-zuriat yang akan lahir daripada rahim kita suatu hari nanti akan jadi penentu kepada hala tuju agama kita. Nah, ayuh kita sama-sama persiapkan diri! Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa pengisian ini bertajuk, "Agenda 4 Pagi"? Agenda sebenarnya adalah untuk mengajak para muslimat bersama-sama meningkatkan ketauhidan terhadap Allah.  Antara salah satu amalan untuk membersihkan hati kita adalah dengan membaca (sambil menghayati dengan kusyuk) satu potongan ayat Surah Ali-Imran iaitu ayat 18, sebelum terbitnya fajar Subuh. 

*Lihat ayat muqaddimah atas, ada dinyatakan. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat buatmu para muslimah.
Bersedia atau tidak, yang penting sejauhmana persediaan.
Sekian, maaf jika ada kekhilafan daripadaku. Terima kasih.

 
Kebahagiaan sakinah, mawadah dan warahmah dalam rumahtangga hanya akan muncul apabila ibu bapa berjaya menunjukkan qudwah terbaik di hadapan anak-anak.


Listen...listen.... listen......




                                                     SENYUM....... =)








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...