Ahlan Wa Sahlan,Ana Noor Atikah Rozemi...ASSALAMUALAIKUM

Monday, January 6, 2014

Slot Wanita Kuliah Dhuha: "AGENDA 4 PAGI"


 Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

 
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Ali-Imran:18)

 Bersediakah kita menjadi qudwah (contoh) kepada suami dan anak-anak kita?


Assalamualaikum warahmatullah..

                Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita. Dia (Allah) sentiasa memberikan peringatan kepada kita supaya kita tidak lupa dan terhindar daripada sifat kemungkaran. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, semoga kita peroleh syafaat sebagai umat baginda pada akhirat kelak. Syukur ke hadrat ilahi kerana diberi kesempatan untuk menghadiri kuliah bersama seorang mualimah yang saya hormati iaitu Ustazah Norhafizah Musa yang kerap kedengaran dalam ruangan radio IKIM fm dan juga muncul dalam rancangan slot "Tanyalah Ustazah", TV9. Saya kongsikan serba sedikit perkongsian ilmu tersebut dalam bentuk olahan penulisan ini.


Buat para muslimah sekalian, mari kita hayati hadis ini.

Dalam shahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan hadits Usamah bin Zaid, dia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Pada hari kiamat nanti akan ada seseorang yang didatangkan kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Isi perutnya terburai, sehingga ia berputar-putar sebagaimana berputarnya keledai yang menggerakkan penggilingan. Penduduk neraka pun berkumpul mengerumuninya. Mereka bertanya, ‘Wahai fulan, apakah yang terjadi pada dirimu? Bukankah dahulu engkau memerintahkan kami untuk berbuat kebaikan dan melarang kami dari kemungkaran?’. Dia menjawab, ‘Dahulu aku memerintahkan kalian berbuat baik akan tetapi aku tidak mengerjakannya. Dan aku melarang kemungkaran sedangkan aku sendiri tergamak melakukannya’.”

 Melalui hadis di atas, Allah sediakan azab seksaan bagi orang yang mengajar orang ilmu tetapi tidak mengamalkannya, dan mencegah orang daripada melakukan maksiat tetapi dia sendiri yang melakukan maksiat. Allahu akhbar, moga Allah ampunkan dosa-dosa kita dan permudahkan kita untuk berbuat kebaikan.

Buat para muslimah, anda mesti mahu ada zuriat-zuriat yang soleh dan mendengar kata bukan?Anda pasti mengidamkan memiliki anak-anak generasi al-Quran iaitu penghafaz al-Quran,bukan? Ya,saya mahu. Jawapan ini adalah fitrah bagi semua wanita. Persoalannya,adakah kita sendiri pernah berusaha untuk mencapai ke arah tersebut? 'Check balik' amalan-amalan kita. Jangan...kita menasihati anak-anak kita supaya buat amalan-amalan sunnah dan meninggalkan perkara lagha, tapi kita sendiri yang tidak mengamalkan perkara tersebut. Berapa kali sehari kita baca al-Quran? Ada tak dalam sehari kita mengingati Allah (zikir) dan berselewat kepada Rasulullah SAW? Para muslimah sekalian jadikan diri kita qudwah (contoh,idola) kepada anak-anak kita. Kalau ibu bapa buat dahulu, Allah pasti permudahkan urusan anak-anak untuk berbuat kebaikan.

Al-Khansa binti Amru : Ibu Para Syuhada (Serikandi Zaman Rasulullah SAW)

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Anda kenal siapa Al-Khansa binti Amru? Wanita ini patut dijadikan contoh buat semua para wanita. Al-Khansa dilahirkan pada zaman jahiliyyah dan membesar dalam suku bangsa Arab iaitu Bani Mudhar. Beliau seorang wanita yang fasih,mulia, murah hati,tenang, berani, tegas,tidak kenal pura-pura dan suka berterus-terang. Kebolehahan beliau adalah bersyair dan Rasulullah SAW sendiri akui Khansa merupakan wanita yang paling handal bersyair di daerah tersebut melalui hadis yang diriwayatkan oleh Adi bin Hatim dan saudarinya,Safanah binti Hatim ketika datang ke Madinah untuk melawat Rasulullah SAW. Oleh kerana Khansa gemar bersyair tentang  2 orang saudara lelakinya iaitu, Mu'awiyah dan Sakhr yang telah meninggal dunia, Saidina Umar bin Khattab pernah menegur Khansa agar menggunakan kebolehan tersebut untuk menghasilkan sesuatu yang dapat dimanfaatkan untuk perjuangan Islam. Maka lahirlah syair-syair yang mampu memotivasikan orang-orang jauh dan terdekat terutama anak-anak lelakinya supaya keluar berjihad di jalan Allah.

Khansa: Ajak anak berperang fisabilillah dan ikut sekali ke medan jihad!

Berapa ramai wanita sanggup menyerahkan anak-anak untuk berkhidmat untuk agama Allah dan pada masa yang sama berangkat bersama-sama untuk memperjuangkan agama Allah? Wanita ini telah menghantar keempat-empat anaknya syahid dalam perang Qadisiyyah (Pertempuran Muslim-Persia). Sebelum berangkat ke perang, terjadinya perdebatan antara anak-anak lelaki Khunsa tentang pemilihan siapa yang berhak keluar berjihad dan siapa yang ditugaskan menjaga ibu di rumah. Masing-masing saling tunjuk-menunjuk siapa yang mesti tinggal di rumah dan masing-masing bercita-cita untuk keluar berjihad. Pertengkaran tersebut telah didengari oleh Khansa, lalu Khansa mengumpulkan keempat-empat anak lelakinya dan berkata,

"Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kalian ini putra-putra dari seorang lelaki dan seorang perempuan yang sama. Tidak pantas bagiku untuk mengkhianati ayahmu, atau membuat malu pamanmu, atau mencoreng arang di kening keluargamu."  

"Jika kalian telah melihat perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah. Majulah paling depan, niscaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat, negeri keabadian. Sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah. Inilah kebenaran sejati, maka berperanglah dan bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut niscaya kalian dianugerahi hidup."

Khansa dan keempat-empat anak lelakinya berangkat bersama-sama ke pertempuran Al-Qadisiyyah. Sewaktu pertempuran tersebut, kedengaran bunyi pedang-pedang bergeleseran dan cahaya keluar daripada pedang di hadapan anak-anaknya. Lantas Khansa terus bangkitkan semangat anak-anaknya dengan berkata,
"Anggaplah kilat-kilat mata cahaya pedang tersebut seperti panggilan cahaya daripada syurga............."

Dengan izin Allah, ramai musuh tertumpas di tangan anak-anak Khansa dan kesemua anaknya syahid di medan perang. Berita yang dikhabarkan kepada Khansa tentang kesyahidan anak-anaknya diterima dengan penuh redha tanpa perasaan sedih.
Khansa berdoa kepada Allah,“Segala pujian milik Allah Yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka. Aku berharap kepada Allah agar Dia mengumpulkan aku bersama mereka dalam naungan rahmat-Nya.” (Lihat: Al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashhab, II/90-91. Lihat juga: Nisa’ Hawl ar-Rasul).

Gambar sekadar hiasan.

Kesimpulan
Pengajaran daripada kisah Al-Khansa binti Amru adalah jadilah wanita yang mampu dijadikan teladan dan pembakar semangat kepada anak-anak untuk melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Jika kita berazam untuk memiliki anak-anak penghafaz al-Quran, maka lazimkanlah diri kita dengan membaca al-Quran. Jika kita berhasrat untuk memiliki anak yang berakhlak baik, maka perbaikilah akhlak kita. Amalkan baca surah Al-Imran ayat 200 untuk melembutkan hati anak-anak.

Wahai para muslimah, belum terlambat untuk kita perbaiki segala kekurangan kita. Zuriat-zuriat yang akan lahir daripada rahim kita suatu hari nanti akan jadi penentu kepada hala tuju agama kita. Nah, ayuh kita sama-sama persiapkan diri! Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa pengisian ini bertajuk, "Agenda 4 Pagi"? Agenda sebenarnya adalah untuk mengajak para muslimat bersama-sama meningkatkan ketauhidan terhadap Allah.  Antara salah satu amalan untuk membersihkan hati kita adalah dengan membaca (sambil menghayati dengan kusyuk) satu potongan ayat Surah Ali-Imran iaitu ayat 18, sebelum terbitnya fajar Subuh. 

*Lihat ayat muqaddimah atas, ada dinyatakan. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat buatmu para muslimah.
Bersedia atau tidak, yang penting sejauhmana persediaan.
Sekian, maaf jika ada kekhilafan daripadaku. Terima kasih.

 
Kebahagiaan sakinah, mawadah dan warahmah dalam rumahtangga hanya akan muncul apabila ibu bapa berjaya menunjukkan qudwah terbaik di hadapan anak-anak.


Listen...listen.... listen......




                                                     SENYUM....... =)








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...